Skip to content

10 Khasiat Buah Pelaga Kepada Kesihatan

Apakah khasiat buah pelaga? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah pelaga, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Buah pelaga dikenali sebagai salah satu bahan rempah ‘empat sekawan’ yang sering digunakan di dapur. Selain menyediakan rasa dan aroma yang enak, ia juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan.

Pengenalan

Buah pelaga bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian kita kerana sering digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. Kegunaan buah pelaga bukan hanya boleh dijumpai dalam masakan Melayu tetapi juga turut digunakan oleh rakyat di negara lain dan dikenali dengan pelbagai nama seperti cardamom dalam bahasa Inggeris, bai dou kou (China), choti elaichi (Hindi), luk krawan (Thailand) dan kalulaga (Indonesia).



Buah pelaga yang merupakan antara rempah ratus paling tertua di dunia ini juga menjadi rempah ketiga paling mahal di dunia dan dianggap sebagai “Ratu Rempah”. Benih buah pelaga ini mempunyai aroma manis dan rasa sedikit pedas. Minyak patinya pula diperolehi dari biji melalui proses penyulingan stim. Hampas minyak dan damarnya pula digunakan dalam pemprosesan makanan, minuman beralkohol dan minyak wangi.

Buah pelaga biasanya digunakan untuk menambahkan rasa dalam makanan seperti kari, sup, ayam masak merah, dan sebagainya. Selain melazatkan makanan, buah pelaga juga mempunyai pelbagai khasiat lain kepada tubuh badan.

Kandungan Nutrisi

Buah pelaga memiliki beberapa sumber vitamin dan mineral. Selain itu, sedikit sahaja kandungan kalori dan karbohidrat. Berdasarkan data dari jabatan pertanian Amerika Syarikat, satu sudu makan buah pelaga menyajikan nutrisi seperti berikut:-

Makronutrien

  • Kalori: 18kcal
  • Karbohidrat: 4.0g
  • Serat: 1.6g
  • Protein: 0.6g
  • Lemak: 0.4g

Mikronutrien

  • Kalium: 64.9mg
  • Kalsium: 22.2mg
  • Zat Besi: 0.81mg
  • Magnesium: 13.33mg
  • Fosforus: 10.3mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Buah Pelaga



Seperti kebanyakan tumbuhan, buah ini terkenal dengan komposisi kimianya yang kaya, yang sangat bermanfaat bagi tubuh manusia. Ianya, juga padat dengan kandungan antioksidan.

Buah pelaga mempunyai ciri-ciri anti-karsinogenik yang baik dalam mengawal masalah kanser terutamanya jenis kanser yang bersangkut paut dengan kolon dan rektum.

Ekstrak metanol dari buah pelaga pula adalah komponen yang membantu dalam mengawal gangguan seperti kembung perut dan lain-lain. Pati dari minyak (essential oil) buah pelaga adalah salah satu minyak utama yang diguna dalam terapi aroma. Ia bukan sahaja digunakan untuk mengatasi kemurungan, tetapi juga untuk menyembuh pelbagai penyakit lain terdiri dari masalah berkaitan perut hingga ke penyakit paru-paru.

10 Khasiat Buah Pelaga

1. Mengurangkan Risiko Tekanan Darah Tinggi

Buah pelaga dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Kajian yang dijalankan mendapati bahawa serbuk buah pelaga berupaya menurunkan paras tekanan darah tinggi kepada paras normal terhadap individu dewasa yang baru menghidap tekanan darah tinggi. Kajian ini telah dilakukan dengan memberikan tiga gram serbuk buah pelaga sehari kepada 20 individu dewasa yang baru didiagnosis dengan tekanan darah tinggi. Selepas 12 minggu, didapati bahawa paras tekanan darah telah menurun dengan ketara. Dapatan kajian ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keupayaan tahap antioksidan yang tinggi dalam buah pelaga yang membantu menurunkan tekanan darah.

Selain itu, para penyelidik juga mengesyaki bahawa rempah boleh menurunkan tekanan darah kerana kesan diuretiknya membantu menggalakkan pembuangan air kecil untuk mengeluarkan air yang terkumpul di dalam badan seperti di sekitar jantung seseorang individu.

2. Bersifat antimikrobial

Buah pelaga juga bersifat antibiotik (antimikrobial). Hal ini kerana, minyak daripada biji buah pelaga dipercayai boleh membunuh bakteria dan kulat. Satu kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa minyak pati buah pelaga berkesan dalam membunuh beberapa jenis bakteria dan kulat yang berbeza seperti P. aeruginosa dan C. violaceum. Hal ini mungkin disebabkan oleh keupayaannya untuk merosakkan membran sel bakteria tertentu.



Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud orang ramai boleh menelan minyak pati buah pelaga, setiap individu perlu merujuk dengan doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang ubat herba yang baharu. Hal ini kerana, sesetengah produk boleh berinteraksi dengan ubat sedia ada atau menyebabkan kesan sampingan.

3. Baik untuk kesihatan Jantung

Buah pelaga juga sangat baik untuk kesihatan jantung. Hal ini dibuktikan dengan beberapa kajian yang telah dijalankan terhadap haiwan di mana buah pelaga didapati berupaya melindungi jantung dengan memusnahkan radikal bebas dan aktiviti antioksidan.

Satu lagi kajian yang dijalankan terhadap sekumpulan tikus mendapati bahawa minyak buah pelaga dapat membantu menurunkan tahap kolesterol tikus. Eksperimen yang dijalankan terhadap kumpulan kawalan tikus dengan diet kolesterol tinggi selama 8 minggu mendapati bahawa kumpulan yang diberikan buah pelaga ini mempunyai paras kolesterol dan trigliserida yang jauh lebih rendah pada akhir kajian. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian diperlukan bagi membuktikan bagaimana buah pelaga berupaya mempengaruhi kesihatan jantung manusia.

4. Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Serbuk buah pelaga juga didapati dapat membantu menurunkan gula dalam darah. Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa tikus yang diberikan diet tinggi lemak dan tinggi karbohidrat (HFHC) mempunyai paras gula dalam darah yang lebih kekal lama berbanding dengan tikus yang diberikan diet biasa.

Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan mendapati bahawa serbuk buah pelaga ini tidak mempunyai kesan yang sama pada individu yang mempunyai diabetes jenis 2. Hal ini kerana kajian telah dijalankan melibatkan lebih 200 orang dewasa yang mempunyai diabetes jenis 2. Mereka dibahagikan kepada kumpulan yang hanya mengambil teh hitam atau teh hitam bersama tiga gram kayu manis, buah pelaga atau halia setiap hari selama lapan minggu.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil kayu manis dapat meningkatkan kawalan gula dalam darah. Hasil yang sama tidak ditunjukkan kepada individu yang mengambil buah pelaga atau halia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa buah pelaga tidak mempunyai kesan yang sama pada manusia dengan diabetes jenis 2. Oleh itu, lebih banyak kajian diperlukan bagi mengesahkan peranan buah pelaga dalam membantu mengawal paras gula dalam darah manusia.



Artikel Berkaitan: Penyakit Kencing Manis

5. Meningkatkan Kesihatan Pencernaan

Sejak dahulu lagi, buah pelaga sememangnya sering digunakan untuk memulihkan masalah penghadaman. Buah pelaga sering digunakan dalam perubatan tradisional seperti perubatan Ayuverda, perubatan cina, dan sistem yunani untuk mengubati masalah gangguan gastro usus. Hal ini kerana buah pelaga mengandungi metanol yang boleh mengelakkan penyakit seperti kembung, asid berlebihan, kejang perut dan sebagainya.

6. Pernafasan yang lebih baik

Sebatian yang terdapat dalam buah pelaga boleh membantu meningkatkan aliran udara ke paru-paru seseorang individu yang secara tidak langsung boleh meningkatkan pernafasan. Selain itu, buah pelaga juga boleh memberikan bau yang menyegarkan yang meningkatkan keupayaan badan untuk menggunakan oksigen apabila ianya digunakan sebagai aromaterapi dalam melakukan senaman.

Hal ini dibuktikan dengan kajian yang dijalankan terhadap sekumpulan peserta yang diminta menyedut minyak pati buah pelaga selama satu minit sebelum berjalan di atas treadmill untuk selang 15 minit. Hasil dapatan menunjukkan bahawa kumpulan ini mempunyai pengambilan oksigen yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan.

Selain itu, penyakit asma boleh bertambah teruk kerana penyempitan saluran pernafasan. Kemampuan buah pelaga dalam mengurangkan penyempitan saluran tersebut boleh meningkatkan kadar pernafasan seseorang. Secara tidak langsung kondisi ini membantu merawat asma. Kajian mendapati bahawa serangan asma dapat diatasi dengan memberikan teh buah pelaga kepada mereka yang sedang mengalami serangan asma. Antara cara menyediakannya adalah dengan merendamkan tiga biji buah pelaga ke dalam satu gelas air panas mendidih dan kemudian tunggu sehingga ianya suam sebelum meminumnya.

7. Menghilangkan bau mulut dan badan



Tahukah anda, chewing gum yang sering kita kunyah untuk menghilangkan bau mulut turut dihasilkan daripada minyak pati buah pelaga? Jadi, jika anda mempunyai masalah mulut berbau, antara yang boleh diamalkan adalah dengan mengunyah buah pelaga setiap pagi. Mulut anda bukan sahaja berbau buah pelaga tetapi bau busuk pastinya juga akan hilang.

Oleh sebab itu, orang zaman dahulu kala bukan hanya menggunakan buah pelaga untuk membersihkan gigi tetapi juga menggunakannya sebagai salah satu bahan untuk menghasilkan minyak wangi. Buah pelaga yang digabungkan dengan herba-herba lain akan menghasilkan minyak wangi yang sangat menyegarkan.

Walaupun kebanyakan daripada kita lebih sinonim dengan pudina dan kayu manis sebagai penyegar nafas, namun tahukah anda bahawa buah pelaga telah digunakan untuk tujuan ini selama berabad-abad lamanya iaitu dikatakan telah dimulakan oleh masyarakat Mesir kuno lagi. Hal ini bukan hanya kerana rasanya tetapi kerana khasiat yang terdapat dalam buah pelaga itu sendiri yang dapat membantu melawan bakteria dalam mulut yang merupakan penyebab biasa bagi nafas berbau dan penyakit gusi.

Tambahan pula, terdapat kajian yang dijalankan mendapati bahawa biji buah pelaga dan buahnya boleh membantu meningkatkan kesihatan mulut kerana sifat anti-radang dan antioksidannya. Penemuan menunjukkan bahawa ekstrak buah pelaga berkesan dalam mengganggu bakteria yang boleh membawa kepada penyakit gusi atau jangkitan. Dalam percubaan rawak yang dijalankan peserta kajian telah diminta mengunyah sama ada biji adas atau buah pelaga selama 5 minit. Para penyelidik mendapati bahawa mengunyah salah satu jenis biji adalah berkesan dalam mengimbangi pH dalam mulut yang secara tidak langsung dapat membantu mencegah perkembangan rongga.

Artikel Berkaitan: Mulut Berbau

8. Mengurangkan kolesterol dalam darah

Buah pelaga juga mengandungi enzim antioksida yang berupaya mengawal tahap kolesterol dalam darah. Selain itu, buah pelaga juga dapat mengatasi masalah lonjakan lipid dalam tubuh badan. Kajian yang dijalankan mendapati terdapat penurunan keseluruhan 19% dalam jumlah kolesterol, penurunan 25% dalam kolesterol LDL, dan penurunan 15% dalam trigliserida terhadap 20 orang dengan tekanan darah tinggi yang dirawat dengan serbuk kapulaga hijau dalam tempoh 3 bulan.

Dalam kajian lain yang dijalankan terhadap 80 wanita pra-diabetes yang diberikan buah pelaga hijau mempunyai jumlah kolesterol yang lebih rendah dan kolesterol LDL yang lebih rendah selepas 2 bulan. Kajian-kajian ini jelas menunjukkan bahawa buah pelaga dapat membantu mengurangkan kolesterol dalam darah.



Artikel Berkaitan: Kolesterol Tinggi

9. Bersifat antikanser

Kajian yang dijalankan oleh Institut Kanser Kebangsaan India di Kolkata telah mendapati bahawa sebanyak 48% daripada pesakit kanser kolon yang mengamalkan makan buah pelaga setiap hari semakin pulih dari kanser.

Hal ini dipercayai kerana buah pelaga mengandungi fitokimia semulajadi yang berupaya melawan penyakit seperti kanser. Walau bagaimanapun buah pelaga tidak boleh menggantikan rawatan kanser, namun beberapa kajian yang telah dijalankan mencadangkan bahawa buah pelaga mempunyai sifat melawan kanser. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan terhadap tikus mendapati bahawa pemberian suplemen buah pelaga kepada sekumpulan tikus selama 15 hari mengakibatkan pengurangan saiz dan berat tumor kulit mereka.

10. Menjaga kesihatan Organ Hati

Dalam perubatan Ayurveda, didapati buah pelaga turut digunakan kerana sifat detoksifikasinya. Walaupun masih kurangnya bukti saintifik untuk mengesahkan manfaat ini, namun buah pelaga dipercayai mempunyai beberapa kesan yang dapat membantu organ hati, yang memainkan peranan penting dalam mengeluarkan toksin daripada badan.

Kajian yang dijalankan terhadap individu yang mempunyai penyakit hati berlemak bukan alkohol yang mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai obesiti mendapati peserta yang mengambil suplemen buah pelaga hijau mempunyai peningkatan dalam penanda kesihatan hati berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo.

Selain itu, ekstrak buah pelaga juga berupaya mengurangkan kadar enzim hati, trigliserida dan kolesterol yang tinggi. Ekstrak ini juga boleh mencegah pembesaran hati dan berat hati, yang dapat mengurangkan risiko penyakit hati berlemak.



Kesimpulannya, senyawa kimia semulajadi yang terkandung dalam buah pelaga mempunyai kebolehan antioksidan dan anti-radang yang boleh meningkatkan kesihatan. Walaupun banyak manfaat kesihatan rempah ini memerlukan kajian lanjut, buah pelaga selamat untuk diambil oleh kebanyakan orang dalam jumlah yang sederhana.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan

  1. Verma, S. K., Jain, V., & Katewa, S. S. (2009). Blood pressure lowering, fibrinolysis enhancing and antioxidant activities of cardamom (Elettaria cardamomum). Indian journal of biochemistry & biophysics46(6), 503–506.
  2. Ortiz, M. C., Manriquez, M. C., Romero, J. C., & Juncos, L. A. (2001). Antioxidants block angiotensin II-induced increases in blood pressure and endothelin. Hypertension (Dallas, Tex. : 1979)38(3 Pt 2), 655–659.
  3. Noumi E, Snoussi M, Alreshidi MM, Rekha P-D, Saptami K, Caputo L, De Martino L, Souza LF, Msaada K, Mancini E, Flamini G, Al-sieni A, De Feo V. Chemical and Biological Evaluation of Essential Oils from Cardamom Species. Molecules. 2018; 23(11):2818.
  4. Rahman, M. M., Alam, M. N., Ulla, A., Sumi, F. A., Subhan, N., Khan, T., Sikder, B., Hossain, H., Reza, H. M., & Alam, M. A. (2017). Cardamom powder supplementation prevents obesity, improves glucose intolerance, inflammation and oxidative stress in liver of high carbohydrate high fat diet induced obese rats. Lipids in health and disease16(1), 151.
  5. Azimi, P., Ghiasvand, R., Feizi, A., Hariri, M., & Abbasi, B. (2014). Effects of Cinnamon, Cardamom, Saffron, and Ginger Consumption on Markers of Glycemic Control, Lipid Profile, Oxidative Stress, and Inflammation in Type 2 Diabetes Patients. The review of diabetic studies : RDS11(3-4), 258–266.
  6. Patil, S., Sreekumaran, E. & Krishna, A. (2011). Evaluation of The Efficacy Of Cardamom Aromatherapy On Aerobic Fitness & Autonomic Functions Among Students. Journal of Health and Allied Sciences NU, 121 (01), 
  7. Verma, S. K., Jain, V., & Katewa, S. S. (2009). Blood pressure lowering, fibrinolysis enhancing and antioxidant activities of cardamom (Elettaria cardamomum). Indian journal of biochemistry & biophysics46(6), 503–506.
  8. Azimi, P., Ghiasvand, R., Feizi, A., Hariri, M., & Abbasi, B. (2014). Effects of Cinnamon, Cardamom, Saffron, and Ginger Consumption on Markers of Glycemic Control, Lipid Profile, Oxidative Stress, and Inflammation in Type 2 Diabetes Patients. The review of diabetic studies : RDS11(3-4), 258–266.
  9. Nagashree, S., Archana, K. K., Srinivas, P., Srinivasan, K., & Sowbhagya, H. B. (2017). Anti-hypercholesterolemic influence of the spice cardamom (Elettaria cardamomum) in experimental rats. Journal of the science of food and agriculture97(10), 3204–3210.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × two =