Bengkak Lutut: Punca, Simptom dan Rawatan

lutut bengkak

Apakah punca dan rawatan kepada masalah bengkak lutut?

Artikel ini membincangkan dengan lengkap berkenaan masalah simptom ini, punca-puncanya, rawatan dan juga cara pencegahan.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Lutut Bengkak
  3. Ujian Pengesanan Punca
  4. Rawatan
  5. Pencegahan Lutut Bengkak

Seorang staf di jabatan kecemasan membawa saya kepada seorang pesakit di zon hijau jabatan kecemasan. Fresh case sports injury katanya. Maksudnya pesakit ini baru sahaja mengalami kecederaan sewaktu bersukan. Melihatkan pada gayanya, dia memang nampak aktif bersukan. Bertubuh tegap di usia awal 30an. Saya mengambil failnya, tercedera sewaktu bermain futsal. Dia mengadu rasa sakit pada lutut apabila di’tackle’ oleh rakannya. Dia juga mengadu mendengar bunyi ‘pop’ sewaktu kecederaan berlaku. Dia datang kerana dia risau jika kakinya sudah patah. Apabila saya periksa kakinya, sudah ada bengkak yang besar di bahagian lutut kanannya. Saya melakukan pemeriksaan lebih lanjut pada lututnya dan diakhirnya, saya menghantarnya ke jabatan radiologi bagi mendapatkan Xray.

Pesakit yang tercedera ketika bersukan sebegini kebiasaannya tidak datang ke jabatan kecemasan tetapi sebaliknya dirujuk daripada klinik. Namun pesakit ini mungkin risau dengan keadaan kakinya. Sports injury kerap saya temui terutamanya sewaktu saya bertugas di Hospital Selayang yang merupakan sports centre. Kebanyakan mereka tercedera sewaktu bermain futsal, bola sepak dan ragbi. Mereka akan datang dengan lutut yang sakit dan bengkak dan apabila dilakukan pemeriksaan lanjut, terdapat kecederaan pada struktur lutut.

Pengenalan


Lutut yang bengkak adalah merupakan salah satu tanda terjadinya radang atau inflamasi. Ia terjadi disebabkan terdapat pengumpulan cecair di sekitar bahagian yang tercedera, dan menyebabkan bahagian luar lutut nampak bengkak.

Terdapat beberapa jenis radang. Di kawasan sekitar sendi seperti di lutut, radang boleh terjadi apabila:

  • Effusion- bengkak dan pengumpulan cecair di dalam ruangan sendi
  • Edema- bengkak di tisu sekitar sendi
  • Hemarthrosis– bengkak dan pengumpulan darah di dalam ruangan sendi

Radang dan bengkak boleh terjadi secara tiba tiba dan cepat ataupun mengambil masa yang lama dan perlahan lahan. Bengkak yang muncul secara tiba tiba dan membesar dalam masa yang cepat dikategorikan sebagai acute. Ia mungkin terjadi disebabkan berlaku kecederaan pada struktur sekitar lutut. Chronic pula adalah apabila bengkak di lutut berlaku dalam tempoh masa yang lama dan perlahan lahan membesar. Ia biasanya melibatkan keadaan yang lebih sistemik.

Berikut merupakan tanda tanda radang atau inflamasi yang lain:

  • Sakit. Kebiasaannya radang akan diiringi oleh rasa sakit yang disebabkan oleh kecederaan.
  • Panas. Kawasan sekitar lutut akan menjadi panas apabila disentuh kerana berlakunya proses metabolisma yang aktif.
  • Kemerahan. Kulit di sekitar lutut juga akan tampak kemerahan kerana radang menyebabkan saluran darah kita membesar.
  • Fungsi terjejas. Pergerakan di bahagian lutut yang bengkak akan terjejas dan anda akan mengalami kesakitan apabila cuba menggerakkan lutut.

Punca lutut bengkak


Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan lutut bengkak:

1. Kecederaan atau Trauma

Kecederaan boleh terjadi pada mana mana struktur di sekitar lutut seperti tulang, ligamen dan otot. Kecederaan boleh terhasil daripada aktiviti sukan, jatuh ataupun kemalangan yang menyebabkan trauma pada lutut. Antara yang kerap terjadi ialah:

  • Kecederaan pada ligamen ataupun otot di sekitar lutut yang terjadi akibat perlanggaran ataupun pertukaran posisi yang drastik seperti yang sering dialami oleh pemain sukan
  • Tendonitis iaitu radang yang terjadi pada tendon iaitu satu struktur yang menyambungkan tulang dengan otot dan sering terjadi kerana penggunaan yang terlalu kerap
  • Kartilej koyak iaitu struktur di hujung tulang paha dan betis yang terlibat dalam sendi lutut dan sering terkoyak kerana trauma

2. Jangkitan pada struktur sekitar lutut.

Jangkitan pada sendi lutut seperti septic arthritis sangat berbahaya dan memerlukan rawatan segera. Ia sering terjadi daripada trauma ataupun luka pada kulit yang memberi akses untuk bakteria masuk dan menjangkiti bahagian sekitar sendi lutut.

3. Arthritis atau radang pada sendi.

Terdapat pelbagai jenis arthritis yang boleh terjadi di kawasan sekitar lutut iaitu osteoarthritis yang sering terjadi pada orang berusia, rheumatoid arthritis iaitu sejenis penyakit sistemik yang memberi kesan kepada sendi, gouty arthritis iaitu sakit gout yang sering terjadi pada ibu jari kaki dan berpunca dari pengumpulan uric acid dalam darah.

4. Bursitis

Bursitis iaitu radang pada satu struktur berisi cecair di lutut dikenali sebagai bursae. Ia boleh terjadi disebabkan penggunaan yang kerap dan trauma. Ia menyebabkan bursae bengkak dan menekan pada struktur lutut yang berdekatan menyebabkan kesakitan. 

Ujian Pengesanan Punca


Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengenal pasti secara kasar struktur yang tercedera. Kebiasaannya, anda akan memerlukan ujian radiologi bagi mengenal pasti.

  • Ujian X ray. Ujian ini akan dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat tulang yang patah ataupun sendi lutut yang terseliuh.
  • Ujian ultrasound. Ultrasound lebih sensitif dan dapat memberi gambaran hang lebih jelas akan tanda tanda inflamasi seperti pengumpulan cecair.
  • Ujian MRI akan diperlukan sekiranya doktor ingin melihat struktur yang lebih tersorok seperti ligamen yang koyak dan bahagian dalam sendi.
  • Ujian darah adalah untuk melihat parameter jangkitan seperti sel darah putih, ESR dan CRP.
  • Doktor juga mungkin akan mengeluarkan sedikit cecair dari bahagian bengkak sekiranya mengesyaki sebarang jangkitan dan menghantarnya ke makmal bagi menganalisis kehadiran bakteria.

Rawatan


Rawatan yang diberikan akan bergantung kepada punca lutut anda bengkak. Namun, pada dasarnya, anda akan dirawat secara simptomatik dan rawatan yang lebih spesifik akan diberikan bergantung kepada keadaan.

  • Ubat tahan sakit seperti NSAIDs (ibuprofen, mefenamic acid)
  • Ubat demam sekiranya anda mengalami demam
  • Ubat anti radang seperti corticosteroid bagi mengawal radang dan melegakan bengkak
  • Ubat spesifik untuk merawat rheumatoid arthritis dipanggil DMARDs seperti methotrexate
  • Ubat spesifik untuk gout seperti allupurinol yang berfungsi mengawal kadar uric acid dalam darah
  • Suntikan bagi menambahkan pelincir dalam sendi iaitu hyaluronic acid dalam pesakit osteoarthritis
  • Antibiotik bagi keadaan jangkitan seperti septic arthritis

Bagi kecederaan yang melibatkan koyakan pada ligamen dan kartilej, anda mungkin memerlukan pembedahan untuk membaikinya.

Bagi keadaan jangkitan seperti septic arthritis yang menyebabkan pengumpulan cecair yang banyak, anda mungkin perlu menjalani prosedur arthrotomy and washout iaitu membuka bahagian lutut dan membersihkan cecair tadi.

Kebiasaannya, anda akan memerlukan terapi fizikal selama beberapa bulan selepas pembedahan bagi menggalakkan proses penyembuhan luka dan menguatkan otot dan tulang pada lutut. Jika anda seorang atlet, anda mungkin terpaksa berehat dari sukan selama beberapa bulan.

Rawatan di rumah

Bagi merawat bengkak di tahap awal, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan. Namun, ini hanya sementara dan anda perlu ke hospital dengan segera.

  • Meninggikan kaki di tempat yang lebih tinggi ketika baring
  • Jangan urut kawasan yang sakit kerana dikhuatiri akan menggerakkan tulang yang patah atau mencederakan lagi kawasan tersebut
  • Meletakkan pek ais di kawasan bengkak selama 20 minit untuk melegakan bengkak, sakit dan kemerahan
  • Mengambil ubat tahan sakit dibeli di farmasi

Cara untuk mencegah lutut Bengkak


Terdapat beberapa tips yang anda boleh cuba untuk mengelakkan masalah lutut bengkak ini. Tips-tips tersebut adalah:

  • Jaga berat badan anda dan amalkan gaya hidup aktif bagi mengurangkan risiko mendapat osteoarthritis
  • Berhati hati ketika bersukan dan pakai pelindung lutut
  • Patuhi arahan makan ubat bagi pesakit gout dan rheumatoid arthritis
  • Elakkan makanan yang boleh mencetus serangan gout seperti daging dan minuman keras bagi pesakit gout
  • Setelah pembedahan, lakukan aktiviti riadah bagi menguatkan otot sekitar lutut

Rujukan:

  1. Swollen knee – Medical News Today
  2. Arthritis – Mayoclinic

Nurul Afza

Nurul Afza Shamsul Kamal merupakan merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Teknologi MARA. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nurul Afza di SINI

Kenali Nurul Afza melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *