Apakah khasiat temulawak pada kesihatan kita? Artikel ini akan membincangkan kandungan nutrisi temulawak serta khasiatnya kepada kesihatan dan kecantikan.
Pengenalan
Temulawak merupakan sejenis tanaman herba yang berasal dari Indonesia. Tanaman ini juga dikenali sebagai Javanese turmeric dan penanamannya telah tersebar luas di beberapa negara dia Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, dan Filipina.
Selain digunakan sebagai jamu, ia juga sering dimanfaatkan sebagai penyedap rasa. Nama saintifiknya adalah Curcuma xanthorrhiza, dan memiliki rupa bentuk seakan- akan kunyit. Secara umumnya, temulawak mempunyai kulit luar yang berwarna kuning muda dengan akar rimpang. Ianya telah dikomersialkan untuk digunakan dalam rawatan tradisional. Samada dalam bentuk asli mahupun krim, manfaat temulawak telah terbukti secara ilmiah dalam bidang perubatan dan kecantikan.
Temulawak memiliki beragam kandungan nutrisi yang baik seperti kurkumin, serat, antioksidan, turmerol, borneol, kalsium, zat besi, kalium, sodium, dan banyak lagi.
Kandungan Nutrisi
Rajah di bawah menunjukkan komposisi nutrisi untuk 100g temulawak.
Makronutrien
- Kalori: 353kcal
- Karbohidrat: 70.1g
- Serat: 3.2g
- Protein: 2.3g
- Lemak: 5g
Mikronutrien
- Kalsium: 146mg
- Fosforus: 284mg
- Kalium: 2311mg
- Thiamin (B1): 0.03mg
- Riboflavin (B2):0.12mg
- Niacin (B3): 2.3mg
- Carotene: 67mg
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kandungan Berkhasiat dalam Temulawak
Temulawak mengandungi kurkuminoid, protein, lemak, pelbagai vitamin dan mineral. Kurkuminoid adalah zat pemberi warna kuning pada temulawak dan kunyit. Senyawa ini berfungsi sebagai zat aktif anti-peradangan dan merupakan ubat antioksidan sebagai penangkal berbagai penyakit.
Selain itu, ada tiga zat aktif yang juga terkandung dalam bahagian batang dan akar temulawak. Antaranya adalah germakron. Bahan aktif ini bersifat antiradang, serta efektif untuk mengurangkan pembiakan sel- sel kanser. Seterusnya, P-toluilmetillkarbinol dan seskuiterpen d-kamper, boleh meningkatkan kesihatan kantung empedu. Hal ini boleh memberi kesan yang sangat baik untuk organ hati. Akhir sekali, tumeron pula bersifat anti- mikrobial untuk menangkis jangkitan berbahaya.
Khasiat Temulawak untuk Kesihatan
1. Meningkatkan Sistem Imun Tubuh
Antara manfaat temulawak yang terkenal adalah untuk meningkatkan daya tahan tubuh sekaligus menghindari pelbagai penyakit berbahaya. Kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal pada tahun 2007 juga mengakui khasiat temulawak untuk sistem pertahanan tubuh. Tanaman ini mengandungi kurkumin yang ampuh melindungi tubuh daripada serangan jangkitan bakteria dan virus [1].
Semua bahagian temulawak sebenarnya boleh dimanfaatkan. Namun bahagian batangnya boleh dikatakan paling efektif untuk meningkatkan daya tahan tubuh. Hal ini kerana batang temulawak terdiri dari berbagai senyawa aktif yang terbukti efektif dalam meningkatkan daya tahan tubuh secara optimal.
2. Bersifat Anti- Radang
Para peneliti bidang kesihatan percaya bahawa peradagangan dalam tubuh, boleh menjadi salah satu penyebab beberapa penyakit seperti kanser, alzheimer, dan jantung. Temulawak mengandungi senyawa yang bersifat anti-radang, berupaya menghambat penghasilan prostaglandin E2 yang menjadi faktor utama perandangan akibat luka. Oleh kerana itu, kandungan anti-radang di dalamnya membantu mengatasi penyakit akibat peradangan di dalam tubuh seperti radang sendi.
3. Menjaga kesihatan hati
Kurkumin yang terkandung dalam temulawak memiliki khasiat untuk meningkatkan tahap kesihatan organ hati. Bahan aktif ini boleh mengubati gangguan kesihatan hati malah mencegah proses penghasilan lemak pada sel hati. Banyak kajian ilmiah yang telah dijalankan untuk membuktikan manfaat ini. Hasilnya, para peneliti menyokong penggunaan temulawak sebagai salah satu bahan ubat tradisional untuk merawat masalah organ hati.
4. Melancarkan Proses Pencernaan
Pelbagai masalah melibatkan sistem pencernaan yang boleh kita senaraikan seperti kembung perut, pedih ulu hati, gastrik, sembelit dan sebagainya. Menurut jurnal Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, berbagai gangguan kesihatan pada saluran pencernaan dapat diatasi dengan temulawak [2]. Penelitian tersebut mendapati bahawa subjek yang mengalami gangguan kesihatan melibatkan saluran pencernaan menjadi semakin baik dengan mengkonsumsi suplemen temulawak secara rutin.
5. Mencegah Kanser
Manfaat temulawak yang seterusnya adalah untuk mencegah kanser. Ia juga memiliki manfaat mencegah enzim atau komponen lain yang boleh merangsang pertumbuhan sel tumor. Oleh kerana itu, memakan temulawak secara rutin bagi penderita kanser adalah rawatan yang efektif dan selamat.
Temulawak juga mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Hal ini meningkatkan keupayaannya untuk menyusutkan sel kanser sedia ada [3].
6. Mengatasi masalah berkaitan tulang
Osteoarthritis merupakan penyakit yang melibatkan serangan terhadap sendi dan tulang. Penyakit ini sering kali dihadapi oleh wanita yang sudah berusia. Pelbagai penelitian membuktikan konsumsi temulawak secara harian boleh membantu meringankan rasa sakit akibat osteoarthritis. Terdapat sebuah jurnal berkaitan yang diterbitkan di dalam Journal of Alternative and Complementary Medicine. Dalam jurnal tersebut menunjukkan bahawa kesan temulawak hampir sama seperti tindak balas ibuprofen (sejenis ubat penghilang rasa sakit) yang diberikan pada pesakit osteoarthritis [2].
7. Bersifat anti-bakteria
Senyawa aktif xanthorrizol pada temulawak ditemui efektif melawan bakteria jenis Staphylococcus dan Salmonella. Bakteria seperti staphylococcus dapat menyebabkan jangkitan pada kulit, pneumonia, bahkan beberapa lagi variannya dapat menyebabkan gastroenteritis. Manakala bakteria Salmonella adalah jenis bakteria yang dikaitkan dengan keracunan makanan.
8. Baik untuk kulit wajah
Dalam dunia kecantikan, temulawak juga boleh digunakan sebagai ubat jerawat. Ini karena temulawak memiliki sifat astringen. Ianya bermanfaat untuk mengurangkan penghasilan minyak dari kelenjarnya. Sifat astringen juga membantu mengecilkan pori-pori kulit sehingga dapat mencegah munculnya jerawat di permukaan kulit.
Sekali lagi sifat antibakteria dan antioksidan dalam temulawak juga dapat menyembuhkan jerawat. Kandungan antiseptiknya pula dapat membersihkan kulit dari bakteria. Hal ini boleh mengurangi jerawat dan kemerah-merahan pada wajah.
9. Meningkatkan Kemampuan Fungsi Otak
Temulawak sangat baik untuk kesihatan otak. Bahan aktif kurkumin dalam temulawak boleh meningkatkan paras hormon Brain Derived Neurotrophic Factor (BDNF). Iaitu sejenis hormon untuk meningkatkan kemampuan pembelajaran dan memori. BDNF ini juga merangsang sel- sel saraf di bahagian otak untuk berhubung.
Selain itu, ia juga berperanan dalam proses pertumbuhan dan pemeliharaan sel- sel tersebut. Jadinya, amalan diet bersama temulawak samada dalam bentuk supplemen atau jamu adalah baik untuk semua usia bagi mendukung perkembangan fungsi otak.
10. Mencegah Serangan Jantung
Penyakit jantung merupakan penyebab kematian tertinggi di dunia. Manfaat lain temulawak adalah ianya boleh mencegah serangan serta menurunkan risiko menghadapi penyakit jantung. Kandungan kurkumin dapat memperbaiki fungsi endothelium [4]. Iaitu selaput tipis yang melapisi bahagian dalam jantung dan pembuluh darah. Kerosakan pada sel endotelium membuatkan peredaran darah tidak lancar dan berlaku pembekuan darah. Sel endotelium ini melepaskan zat untuk mengawal aktiviti pembuluh darah serta enzim yang mengawal pembekuan darah serta sistem imun manusia. Oleh itu, temulawak dengan kandungan kurkumin nyata memberi faedah positif untuk mengatasi masalah jantung.
Konklusinya, temulawak adalah tanaman herba yang memiliki pelbagai manfaat untuk kesihatan dan kecantikan. Lagi-lagi, manfaat ini datang dari kandungan antioksidan iaitu kurkumin. Bahan ini sudah dibuktikan baik untuk mencegah pelbagai penyakit kronik.
Khasiat Makanan yang Lain
Rujukan:
- Jagetia, G. C., & Aggarwal, B. B. (2007). “Spicing up” of the immune system by curcumin. Journal of clinical immunology, 27(1), 19–35.
- Endang Rahmat, Jun Lee, Youngmin Kang, “Javanese Turmeric (Curcuma xanthorrhiza Roxb.): Ethnobotany, Phytochemistry, Biotechnology, and Pharmacological Activities”, Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, vol. 2021, Article ID 9960813, 15 pages, 2021.
- Singh, K., Bhori, M., Kasu, Y. A., Bhat, G., & Marar, T. (2018). Antioxidants as precision weapons in war against cancer chemotherapy induced toxicity – Exploring the armoury of obscurity. Saudi pharmaceutical journal : SPJ : the official publication of the Saudi Pharmaceutical Society, 26(2), 177–190.
- Li, H., Sureda, A., Devkota, H. P., Pittalà, V., Barreca, D., Silva, A. S., Tewari, D., Xu, S., & Nabavi, S. M. (2020). Curcumin, the golden spice in treating cardiovascular diseases. Biotechnology advances, 38, 107343.