Apakah Punca dan Rawatan untuk badan lemah?
Artikel ini akan memberikan huraian lengkap berkenaan masalah ini berserta apa yang perlu dilakukan
Masalah Badan Lemah
Badan lemah membawa maksud seseorang itu merasa letih ataupun tidak bertenaga. Ia bukan membawa maksud rasa mengantuk ataupun rasa pening kepala. Apabila anda merasakan badan anda lemah, anda tidak mempunyai motivasi dan tenaga untuk melakukan sesuatu pekerjaan.
Badan lemah merupakan salah satu simptom yang disebabkan masalah kesihatan. Ia boleh berpunca dari perkara yang normal sehinggalah perkara yang serius.
Jika rasa lemah tersebut masih tidak sembuh selepas mengambil rehat dan makanan yang cukup, pesakit mungkin mempunyai masalah kesihatan yang lain dan perlunya pada pemeriksaan seseorang doktor.
Punca Badan Lemah
Ia boleh dibahagikan kepada 3 kategori am iaitu:
- Gaya hidup
- Masalah kesihatan
- Masalah mental
1. Gaya hidup
Jika anda mengalami masalah badan lemah, aktiviti dan juga gaya hidup mungkin menjadi punca dan penyebab kepada masalah tersebut. Sebagai contoh, ia boleh disebabkan
- Senaman yang berlebihan
- Tidak melakukan senaman
- Kurang tidur
- Lebih berat badan
- Sedang dalam keadaan stress
- Sedang mengalami kehilangan seseorang ataupun sesuatu
- Pengambilan alkohol yang kerap
- Pengambilan dadah
- Pengambilan kafein yang banyak
- Tidak mengambil diet yang sihat
2. Masalah kesihatan
Terdapat pelbagai masalah kesihatan yang menyebabkan simptom. Ia adalah:
- Anemia (Kurang sel darah merah)
- Sakit sendi
- Jangkitan kuman. Sebagai contoh ketika demam dan selsema
- Hipotiroid
- Masalah tidur (Insomnia)
- Penyakit Autoimune (Sebagai contoh SLE, Rheumatoid arthritis, Psoriasis dan sebagainya)
- Lemah jantung
- Kanser
- Kencing manis
- Kegagalan buah pinggang
- Kegagalan fungsi hati
3. Masalah mental
Terdapat beberapa masalah mental yang menyebabkan perkara ini seperti penyakit kebimbangan, tertekan dan sebagainya
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Bilakah anda perlu berjumpa dengan doktor?
Anda perlu berjumpa doktor, jika anda:
- Berterusan mengalami masalah tersebut beberapa minggu
- Tidak mengetahui punca tersebut
- Mengalami kekurangan berat badan yang ketara
- Sangat sensitif dengan persekitaran yang sejuk
- Mengalami masalah untuk tidur
- Merasakan diri berada dalam keadaan tertekan.
Dalam beberapa keadaan, rasa badan lemah merupakan perkara yang serius. Pergi ke hospital jika anda mengalami simptom dan tanda seperti dibawah:
- Berak berdarah
- Muntah darah
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit dada
- Rasa nak pengsan
- Muka pucat
- Pengsan
- Sesak nafas
- Berfikir untuk membunuh diri
- Berfikir untuk membunuh orang lain
Rawatan Masalah Badan Lemah
Rawatan masalah ini berkait rapat dengan punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku.
Doktor akan memeriksa pesakit terlebih dahulu untuk mengetahui punca kepada pesakit. Jika pesakit disyaki mempunyai masalah kesihatan, pesakit mungkin akan diminta untuk menjalani beberapa jenis pengambilan sampel darah untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut.
Sebagai Contoh:
1. Anemia
Jika pesakit mengalami masalah anemia iaitu kekurangan sel darah merah, pertamanya punca kepada masalah anemia itu perlu diketahui. Adakah ia disebabkan kekurangan nutrien seperti zat besi dan vitamin, pendarahan ataupun penyakit autoimun.
Jika ia disebabkan masalah nutrien, selalunya doktor akan memberikan ubat tambah darah kepada pesakit.
2. Jangkitan kuman
Jangkitan kuman pula bergantung kepada jenis. Jika ia disebabkan bakteria, selalunya antiobiotik akan diberikan kepada pesakit.
Jika disebabkan virus pula, selalunya ia boleh baik dengan sendirinya. Namun, terdapat beberapa jenis jangkitan virus yang boleh diberikan ubat anti-viral seperti jangkitan influenza, chicken pox dan sebagainya.
Apabila jangkitan kuman telah berjaya dihapuskan, maka pesakit akan kembali sihat semula
3. Hipotiroid
Hipotirioid adalah masalah kekurangan hormon tiroid. Rawatannya adalah memberikan ubat thyroxine yang akan memberikan hormon tiroid kepada pesakit
4. Kencing manis
Gula yang tinggi di dalam badan akan menyebabkan badan cepat letih. Ini bermaksud insulin di dalam badan tidak mencukupi atau tidak dapat dihasilkan dengan secukupnya.
Jadi rawatan untuk masalah badan lemah ini adalah sangat berkait rapat dengan punca yang menyebabkan masalah ini. Oleh itu, dinasihatkan pesakit untuk mendapatkan pemeriksaan oleh doktor terlebih dahulu.
Apakah tips untuk merawat?
Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk merubah gaya hidup dan mengelakkan rasa badan lemah. Ia adalah:
- Sentiasa mengambil air yang mencukupi
- Melakukan senaman secara rutin dan tidak berlebihan
- Dapatkan tidur yang secukupnya
- Elakkan perkara yang menyebabkan anda stress
- Elakkan pekerjaan yang menyebabkan beban yang banyak kepada anda
- Elakkan pengambilan alkohol, rokok dan penggunaan dadah
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan:
- Fatigue: More than being tired. (2016, July 21). NIH
- Mayo Clinic Staff. (2016, February 2). Fatigue.