Skip to content

Muka Pucat: Punca dan Cara Rawatan

Apakah punca kepada masalah muka pucat berserta rawatannya?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan masalah ini berserta punca dan rawatannya agar anda mampu menyelesaikan masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Muka Pucat
  3. Bila Perlu Berjumpa Doktor?
  4. Ujian Pengesanan Punca
  5. Rawatan Muka Pucat

Pengenalan


Pucat, busau, basai, kemasai, dan lacak telah membawa maksud yang sama iaitu keadaan tona kulit yang berwarna putih pudar dimana ia boleh menunjukkan tahap kesihatan seseorang.



Mengikut definisi perubatan pula, pucat ini adalah situasi dimana oxyhaemoglobin (sel darah merah yang membawa oksigen ke sel-sel badan) tidak jelas kelihatan pada saluran darah kecil di bawah lapisan kulit. Faktor utama terjadinya pucat ini adalah disebabkan samada pesakit mempunyai:

  1. Kekurangan sel darah merah, atau
  2. Kekurangan oksigen yang dibawa oleh sel darah tersebut, atau
  3. Kekurangan kadar peredaran darah di dalam badan

Terdapat beberapa bahagian badan yang boleh dilihat untuk mengukur kadar kesihatan seorang itu

  1. Bahagian dalam kelopak mata
  2. Bahagian dalam bibir
  3. Lidah
  4. Tapak tangan dan kuku

Walau bagaimanapun, setiap manusia itu diciptakan berbeza-beza. Maka, beberapa perkara harus dipertimbangkan ketika memeriksa kepucatan ini seperti ketebalan kulit seseorang dan juga kadar melanin (pigmen yang ada pada kulit).

Punca Muka Pucat


Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah ini. Ia adalah:

1. Sistem darah



Muka pucat seringkali menjadi petanda kepada penyakit anemia. Anemia secara umumnya adalah keadaan di mana badan mengalami kekurangan sel darah merah.

Secara amnya, anemia ini terjadi disebabkan tiga perkara utama. 3 K

  1. Pendarahan dari badan
  2. Kemusnahan sel darah merah
  3. Kekurangan penghasilan sel darah merah

Beberapa perkara yang menyebabkan masalah anemia ini adalah:

  • Kekurangan Zat Besi
  • Kekurangan Vitamin
  • Talasemia
  • Pendarahan
  • Leukemia
  • Limfoma
  • Dan beberapa punca yang lain

Apa pula perbezaannya dengan leukemia? Leukimia adalah barah sel darah putih yang mengganggu proses penghasilan sel-sel darah putih. Penghasilannya terjadi secara berlebihan mengakibatkan sel-sel tidak matang dan terus membahagi serta membiak dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sumsum tulang.

Kedua-dua anemia dan leukemia ini mempunyai simptom kepucatan atau muka pucat.

2. Sistem kardiovaskular (jantung)

Gangguan pengedaraan darah seperti kegagalan jantung untuk mengepam atau tekanan darah rendah sehingga membahayakan nyawa.

3. Sistem penghadaman



Pendarahan dalaman, jangkitan parasit, ulser perut, atau penyakit yang mengganggu fungsi normal usus untuk menyerap zat besi dan vitamin B12

4. Sistem endokrin

Endokrin adalah sistem satu sistem yang merembeskan hormon dalam badan berfungsi untuk mengawl selia organ dalam badan. Beberapa masalah endokrin yang menyebabkan masalah pucatnya ini adalah hipotiroid, diabetes, atau gangguan sistem peredaran hormon.

5. Sistem kulit

Masalah genetik seperti albino. Seorang yang mempunyai masalah ini akan mengalami kekurangan pigmen melanin pada kulitnya. Ini menyebabkan seseorang yang yang mengalami albino ini mempunyai kulit yang sangat pucat, berambut perang, serta sangat sensitif kepada cahaya matahari atau gelombang ultraviolet.

6. Sistem pernafasan

Jangkitan paru-paru boleh menyebabkan sistem penyerapan oksigen di paru-paru terganggu. Ini menyebabkan darah yang membawa oksigen berkurangan dan darah yang membawa karbon dioksida meningkat. Ini menyebabkan warna kulit menjadi pucat kerana kurangnya darah yang membawa oksigen

7. Kanser



Sesetengah barah seperti barah sel darah putih (leukemia), kanser usus atau barah-barah lain yang telah merebak ke tulang dan mengganggu proses penghasilan sel darah yang sihat

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Muka Pucat yang Tidak Berbahaya


Tidak semua kepucatan ini adalah petanda penyakit merbahaya, ianya juga boleh terjadi pada kebanyakan waktu dalam kehidupan seharian kita:

1. Takut atau Terkejut

Perkara ini boleh menyebabkan badan mengalami reaksi lawan atau lari(fight and flight). Reaksi ini akan menyebabkan badan mengaktifkan saraf simpatetik. Degupan jantung pesakit akan semakin laju dan saluran darah akan mengecut. Ini adalah persediaan pesakit sama ada untuk berlawan atau melarikan diri pada ketika itu.

Pengecutan salur darah di kulit ini akan menyebabkan simptom muka pucat disebabkan kurangnya sel darah merah pergi ke bahagian kulit tersebut.

2. Gaya Hidup Tidak Sihat

Stress yang berpanjangan, tidak mematuhi masa tidur dan rehat yang betul, pengambilan alkohol yang kerap, penyalahgunaan nikotin, tidak melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi sehingga peredarah darah menjadi perlahan dan terganggu, serta tabiat buruk yang lain



3. Diet yang tidak seimbang.

Mereka yang mengambil makanan yang kurang zat besi, vitamin B12 atau asid folik boleh menyebabkan masalah ini berlaku terutamanya pada kanak-kanak.

4. Suhu

Pendedahan kepada tempat yang suhu terlalu sejuk akan menyebabkan salur darah di bahagian kulit mengecut. Perkara ini akan menyebabkan seseorang itu mengalami simptom ini.

5. Kurang terdedah pada cahaya matahari.

Hidup di kawasan gelap seperti celah-celah bangunan yang tinggi hingga menghalang cahaya matahari dari memasuki ke dalam rumah berpotensi menyebabkan masalah kekurangan vitamin D. Vitamin D sangat penting pada kesihatan tulang untuk berfungsi menghasilkan sel darah

6. Perubahan umur

Penuaan juga mempengaruhi warna kulit seseorang



Bila perlu berjumpa Doktor?


Jika anda mempunyai simptom-simptom ini, anda perlulah berjumpa dengan doktor bagi tujuan pemeriksaan. Simptom-simptom tersebut adalah:

  1. Pucat secara tiba-tiba
  2. Pucat seluruh tubuh badan
  3. Pengsan
  4. Demam
  5. Muntah darah
  6. Berak berdarah
  7. Sakit perut
  8. Sesak nafas
  9. Sakit dada bersama-sama dengan pucat yang secara tiba-tiba
  10. Kaki dan tangan sejuk

Namun, cukup sekadar anda berjumpa doktor di bahagian klinik pesakit luar sekiranya anda mengalami kepucatan bersama-sama dengan simptom yang ringan seperti kelesuan, sukar bernafas (pada tahap sederhana) atau tiada selera makan.

Ujian Pengesanan Punca


Doktor anda akan bertanya dan merekodkan semua simptom dan tanda yang anda ada. Ianya penting untuk mengetahui segala sejarah kesihatan pesakit dengan teliti dan mendalam. Seterusnya pemeriksaan fizikal berserta ujian makmal akan dilakukan

Beberapa penyelidikan diperlukan untuk mengenalpasti punca utama kepucatan ini

1. Ujian makmal

  • Ujian Darah Lengkap (Full blood Count). Ujian ini digunakan untuk menentukan sama ada pesakit mengalami kekurangan sel darah merah ataupun tidak. Ia juga mengesan bilangan sel darah yang lain
  • Pemeriksaan Najis dan Kultur (Stool Examination and Culture). Ujian daripada sampel najis dibuat untuk melihat kewujudan darah di dalam najis dan juga untuk melihat parasit yang boleh menyebabkan pesakit kehilangan darah
  • Ujian fungsi tiroid(Thyroid function test). Untuk mengesan penyakit hipotiroid
  • Ujian fungsi buah pinggang (Kidney function test). Kegagalan buah pinggang boleh mengurangkan hormon erythropoetin yang berfungsi untuk merangsang penghasilan sel darah merah
  • Vitamin deficit. Ujian kadar vitamin di dalam badan untuk mengenalpasti penyakit anemia yang disebabkan kekurangan zat

2. Ujian Radiologi

  • X-ray: Jika pesakit disyakit mengalami jangkitan paru-paru, pesakit akan menjalani pemeriksaan x-ray dada bagi mengesan jangkitan ini
  • CT-Scan atau MRI: Jika seseorang itu disyaki mengalami kanser, pemeriksaan CT atau MRI perlu dilakukan untuk mengesan masalah ini

Rawatan Muka Pucat


Rawatan yang paling berkesan adalah mencari dan merawat punca utama kepucatan. Walau bagaimanapun, rawatan awal harus diberikan dan ianya berbeza mengikut keadaan dan tahap kepucatan setiap individu.

1. Gaya hidup.



Mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti

  • Bijak menangani stress,
  • Rehat dan tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya 7 jam,
  • Pengambilan makanan yang seimbang (mengandungi zat besi, vitamin B12, asid folik dan lain-lain),
  • Bersenam 3 kali seminggu,
  • Melakukan aktiviti fizikal yang terdedah kepada cahaya matahari di waktu pagi (untuk vitamin D)
  • berhenti merokok dan menjauhi tabiat penyalahgunaan alkohol

2. Ubat-ubatan

Ubat dan rawatan yang diberikan bergantung kepada kesesuaian tahap kesihatan masing-masing

3. Pembedahan

Pembedahan adalah jalan akhir dan hanya diperlukan bagi kes-kes yang berat seperti pendarahan yang banyak secara tiba-tiba atau rawatan untuk salur darah yang tersumbat

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit PerutHidung Berbau Busuk
Puting SakitPayudara Bengkak
Puting TenggelamTidur Berdengkur
Rasa LoyaBengkak Lutut
Susah Buang Air KencingDemam Berpanjangan
Bengkak AirPerut Kembung
Tangan MenggeletarSakit Pergelangan Tangan
SelesemaBayi Selesema
Hidung TersumbatMuka Pucat
Bibir BengkakCirit-Birit Berpanjangan

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan :



  1. Mahmoud sewilam, Sewilam’s Clinical Medicine; first edition, Cairo University
  2. Dr Ahmed M.Mowafy; In Capsule Series Internal medicine; Hematology
  3. M. Salah Ibrahim; Clinical Approach To Diagnosis; Major Symptoms and Signs
  4. Wilkinson, Raine, Wiles, Goodhart, Hall, O’neill; Oxford Handbook of Clinical Medicine; tenth edition
  5. Dewan Bahasa dan Pustaka
  6. Paleness – Healthline
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 2 =