Jintan manis merupakan salah satu rempah yang banyak digunakan dalam masakan. Namun, di sebalik fungsi penambah rasa, jintan manis turut mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Dalam artikel kali ini, mari kita lihat apa lagi khasiat jintan manis pada kesihatan!
Pengenalan
Jintan manis bukanlah satu bahan yang asing dalam dapur-dapur rakyat Malaysia. Ianya sering digunakan dalam hidangan seperti kari dan sup untuk memberi rasa dan aroma.
Foeniculum vulgare, nama saintifik bagi jintan manis merupakan tumbuhan yang tergolong dalam keluarga parsli. Antara tumbuhan herba dan rempah lain yang termasuk dalam keluarga ini adalah beberapa tanaman seperti jintan hitam, bunga lawang dan jintan putih.
Jintan manis berasal dari Eropah Selatan dan tumbuh secara meluas di seluruh Eropah, Timur Tengah, China, India, dan Turki.
Di era moden, bahagian- bahagian jintan manis seperti batang, daun dan biji telah banyak dikomersialkan untuk pelbagai kegunaan, baik untuk wangi- wangian mahupun kesihatan.
Kandungan Nutrisi
Kandungan nutrisi dalam satu sudu makan jintan manis adalah seperti berikut:-
Makronutrien
- Karbohidrat: 3g
- Protein: 0.9g
- Lemak: 0.9g
- Kalori: 19.8kcal
Mikronutrien
- Vitamin A: 7.8mg
- Vitamin C: 0.2mg
- Vitamin B3: 0.3mg
- Kalsium: 68.8mg
- Zat besi: 1.1mg
- Magnesium: 22.1mg
- Fosforus: 28mg
- Kalium: 97.4mg
- Natrium: 5.1mg
- Zink:0.2mg
Berdasarkan jadual di atas, kita boleh dapati bahawa jintan manis membekalkan kalori yang rendah dengan jumlah serat yang tinggi. Pelbagai sumber vitamin dan mineral juga boleh didapati dalam satu sudu teh jintan manis.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kandungan Berkhasiat dalam Jintan Manis
Apakah kandungan yang menjadikan jintan manis begitu berkhasiat? Rempah ini sebenarnya kaya dengan pelbagai vitamin A, B, dan C, juga pelbagai garam galian. Bahagian bebawang pokok jintan dan biji jintan adalah rendah kalori, namun membekalkan banyak nutrien penting.
Menurut Pangkalan Data Nutrien Nasional USDA, bahagian bebawang pokok jintan adalah sumber tenaga, vitamin C, serat, kalium dan mineral penting lain seperti kalsium, fosforus, dan natrium. Ia turut menyediakan sejumlah kecil zat besi, magnesium, zink.
10 Khasiat Jinta Manis pada Kesihatan
1. Meningkatkan imuniti
Bahagian bebawang pokok jintan manis tinggi dengan kandungan vitamin C, yang merupakan vitamin larut air dan penting untuk kesihatan imun, pembaikan tisu, dan penghasilan kolagen. Vitamin C pada jintan manis ini, dapat membantu meningkatkan sistem imun dan melindungi tubuh daripada jangkitan dan kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Selain itu, jintan manis juga mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. Hal ini kerana ia mempunyai pelbagai jenis antioksidan seperti flavonoid, quercetin, cinnamic acid, rosmarinic acid dan gallic acid. Hal ini telah dibuktikan dengan pelbagai kajian yang telah menunjukkan bahawa ekstrak biji jintan manis mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi.
Oleh itu, salah satu khasiat jintan manis adalah ia boleh membantu badan melawan radikal bebas seterusnya mencegah oksidatif stres di dalam badan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.
2. Menurunkan risiko kanser
Vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang kuat dalam tubuh serta melindungi daripada kerosakan sel yang disebabkan oleh molekul yang tidak stabil atau radikal bebas.
Jintan manis mampu melindungi sel dari radikal bebas kerana sifat antioksidan dan kandungan vitamin C yang dimilikinya. Oleh itu, rempah ini berupaya mencegah sel kanser dari terus merebak. Dalam satu kajian menunjukkan jintan manis menurunkan risiko terhadap kanser payudara [1].
Kajian terhadap haiwan turut menyatakan hasil yang sama bahawa ekstrak jintan manis mampu memberi khasiat perlindungan terhadap kanser payudara dan kanser hati [2].
3. Mencegah penyakit kardiovaskular
Penyakit- penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung melibatkan gangguan pada pembuluh darah dan jantung seseorang. Jintan manis mempunyai aktiviti kardiovaskular yang boleh membantu mengawal tekanan darah, seterusnya mengurangkan risiko penyakit berkaitan.
Sifat anti- radang yang terdapat pada daun jintan manis, selain daripada tinggi kandungan antioksidan dan serat turut membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular [3,4].
Tambahan lagi, kandungan magnesium, kalium dan kalsium di dalam jintan manis juga memainkan peranan yang penting bagi menambah baik fungsi jantung yang sihat.
Artikel Berkaitan: Punca Sakit Jantung
4. Menghindari penyakit anemia (kekurangan sel darah merah)
Sesudu teh jintan manis mengandungi 1.1 mg zat besi, yang mana didapati 1 daripada 5 orang dewasa cenderung untuk menghadapi kekurangan zat besi. Kandungan zat besi dan asid amino (histidine) yang terdapat dalam jintan manis jelas membantu dalam rawatan anemia [5].
Zat besi sangat penting sebagai komponen utama penghasilan hemoglobin. Manakala histidine pula merangsang penghasilan hemoglobin, juga membantu dalam pembentukan berbagai komponen darah yang lain.
Artikel Berkaitan: Penyakit Anemia
5. Merawat gejala haid/ senggugut
Wanita kerap kali mengalami kekejangan dan ketidakselesaan semasa mengalami haid. Pengambilan jintan manis mengawal gejala haid dengan cara mengawal tindakan hormon yang betul dalam tubuh [6].
Tahukah anda, jintan ini juga sering digunakan dalam beberapa produk untuk mengurangkan kesangejala sebelum dan semasa haid. Di samping itu, ia juga digunakan secara tradisional untuk melegakan kesakitan dan agen penenang untuk wanita menopaus.
Artikel berkaitan: Punca Senggugut dan Rawatan
6. Melancarkan proses perkumuhan
Herba yang berserat tinggi seperti jintan manis mempunyai elemen ‘pelawas’. Hal ini membolehkan ia mencuci usus kecil dan besar secara sederhana. Sekaligus, melancarkan proses perkumuhan dan membuang toksin dari badan. Dalam perubatan Ayurveda, serbuk jintan manis sering digunakan sebagai julap.
Kandungan serat dalam jintan manis boleh merangsang pergerakan peristaltik usus sehingga membantu proses perkumuhan. Walaupun bersifat melawaskan, jintan manis tidak menyebabkan cirit- birit.
7. Melegakan kembung perut
Jintas manis boleh merawat masalah ketidakhadaman, radang perut dan usus melalui pengeluaran gas berlebihan dalam perut. Hal ini secara tidak langsung membantu dalam melegakan perut yang kembung.
Dalam kajian berlainan, didapati bahawa pesakit yang mempunyai gejala Sindrom Usus Sensitif (IBS), lalu diberi rawatan jintan manis selama dua minggu, gejala seperti sakit dan ketidakselesaan di bahagian perut berkurangan [7].
8. Membantu dalam penurunan berat badan
Antara khasiat jintan manis yang popular adalah membantu dalam penurunan berat badan. Jintan manis meningkatkan kadar metabolisma, lalu membantu proses menurunkan berat badan dengan cepat. Kajian pada tahun 2015, membuktikan keberkesanan jintan manis bukan sahaja terhadap penurunan berat badan malah baik untuk kadar gula dalam darah [8].
Amalan meminum teh jintan manis lebih kurang 2-3 kali sehari sebelum makan berat merupakan antara cara yang disarankan untuk melangsingkan badan. Namun, harus diingat rutin meminum teh jintan manis perlulah diiukuti dengan penjagaan makanan dan melakukan senaman yang baik, bagi kesan yang optimum.
9. Meningkatkan kuantiti dan kualiti susu ibu
Membekalkan susu badan yang mencukupi untuk bayi, amat penting sehingga mereka mencapai usia 2 tahun. Hal ini penting bagi memastikan bayi menerima nutrien yang mencukupi, di samping membina imuniti tubuh yang lebih kukuh.
Kandungan galactogogues dalam jintan manis menggalakkan pengeluaran susu ibu. Justeru, rempah ini sangat bagus untuk diamalkan bagi para ibu yang menyusu badan. Selain itu, jintan manis juga memberi kesan yang sama seperti hormon estrogen, menjadikan aliran susu pada ibu yang menyusukan anak, dapat ditingkatkan [9].
10. Meningkatkan daya ingatan
Akhir sekali, jintan manis juga berupaya meningkatkan memori atau ingatan seseorang. Kajian ke atas tikus yang mengalami masalah penurunan memori (memory deficit) telah menerima rawatan menggunakan ekstrak biji jintan manis kering. Hasilnya menunjukkan rempah ini berupaya meningkatkan ingatan tikus tersebut [10].
Oleh itu, ini menunjukkan bahawa biji jintan manis berpotensi untuk meningkatkan memori terutamanya bagi individu yang mempunyai gangguan ingatan seperti penyakit Alzheimer.
Kesimpulannya, jintan manis merupakan rempah yang mempunyai pelbagai khasiat. Namun, penyelidikan terhadap manfaat jintan manis kepada kesihatan memerlukan lebih banyak kajian untuk mengukuhkan keberkesanan rempah ini dalam pelbagai aspek kesihatan untuk tubuh manusia.
Khasiat Makanan yang Lain
Rujukan
- Chen, C. H., & deGraffenried, L. A. (2012). Anethole suppressed cell survival and induced apoptosis in human breast cancer cells independent of estrogen receptor status. Phytomedicine : international journal of phytotherapy and phytopharmacology, 19(8-9), 763–767.
- Mohamad, R. H., El-Bastawesy, A. M., Abdel-Monem, M. G., Noor, A. M., Al-Mehdar, H. A., Sharawy, S. M., & El-Merzabani, M. M. (2011). Antioxidant and anticarcinogenic effects of methanolic extract and volatile oil of fennel seeds (Foeniculum vulgare). Journal of medicinal food, 14(9), 986–1001.
- Swaminathan, A., Sridhara, S. R., Sinha, S., Nagarajan, S., Balaguru, U. M., Siamwala, J. H., Rajendran, S., Saran, U., & Chatterjee, S. (2012). Nitrites derived from Foneiculum vulgare (fennel) seeds promotes vascular functions. Journal of food science, 77(12), H273–H279.
- Choi, E. M., & Hwang, J. K. (2004). Antiinflammatory, analgesic and antioxidant activities of the fruit of Foeniculum vulgare. Fitoterapia, 75(6), 557–565.
- Mansouri, E., Kooti, W., Bazvand, M., Ghasemi Boroon, M., Amirzargar, A., Afrisham, R., Afzalzadeh, M. R., Ashtary-Larky, D., & Jalali, N. (2015). The Effect of Hydro-Alcoholic Extract of Foeniculum vulgare Mill on Leukocytes and Hematological Tests in Male Rats. Jundishapur journal of natural pharmaceutical products, 10(1), e18396.
- Omidvar, S., Esmailzadeh, S., Baradaran, M., & Basirat, Z. (2012). Effect of fennel on pain intensity in dysmenorrhoea: A placebo-controlled trial. Ayu, 33(2), 311–313.
- Agah, S., Taleb, A. M., Moeini, R., Gorji, N., & Nikbakht, H. (2013). Cumin extract for symptom control in patients with irritable bowel syndrome: a case series. Middle East journal of digestive diseases, 5(4), 217–222.
- Taghizadeh, M., Memarzadeh, M. R., Asemi, Z., & Esmaillzadeh, A. (2015). Effect of the cumin cyminum L. Intake on Weight Loss, Metabolic Profiles and Biomarkers of Oxidative Stress in Overweight Subjects: A Randomized Double-Blind Placebo-Controlled Clinical Trial. Annals of nutrition & metabolism, 66(2-3), 117–124.
- Drugs and Lactation Database (LactMed). Bethesda (MD): National Library of Medicine (US); 2006-. Fennel. [Updated 2021 May 17].
- Koppula, S., & Choi, D. K. (2011). Cuminum cyminum extract attenuates scopolamine-induced memory loss and stress-induced urinary biochemical changes in rats: a noninvasive biochemical approach. Pharmaceutical biology, 49(7), 702–708.